Realiti & nilai sebenar membeli EV di Malaysia
Jualan kereta elektrik (EV) di Malaysia semakin meningkat. Pada separuh pertama 2024, hanya 6,651 unit EV dijual. Tapi angka itu melonjak kepada 12,733 unit pada separuh pertama 2025 – kira-kira 3.4% daripada jumlah jualan kereta baharu negara.
Jenama seperti BYD, Tesla, Proton dan Zeekr kini menguasai pasaran dengan model yang semakin kompetitif dari segi harga dan teknologi. Perkembangan ini juga dbantu insentif kerajaan seperti pengecualian cukai jalan, dan anggapan bahawa EV lebih jimat dari segi pengecasan dan penyelenggaraan berbanding kereta petrol atau diesel.

Tak hairanlah kini lebih ramai rakyat Malaysia mula mempertimbangkan untuk beralih kepada EV. Tapi soalan utama tetap sama: adakah EV betul-betul praktik untuk kegunaan harian?
Dalam artikel ini, kita akan lihat kos pemilikan, keadaan infrastruktur pengecasan, pilihan model, dan cabaran-cabaran yang perlu anda tahu sebelum membuat keputusan.
Infrastruktur pengecasan EV di Malaysia

Setakat Mei 2025, Malaysia sudah mempunyai lebih 4,100 stesen pengecas EV di seluruh negara. Kebanyakannya tertumpu di kawasan bandar dan lebuh raya. Kerajaan juga menyasarkan 10,000 stesen pengecas menjelang hujung tahun ini.
PLUS turut memasang 112 titik pengecas di sepanjang rangkaian lebuh rayanya. Ini langkah penting untuk menyokong perjalanan jarak jauh dan memberi lebih keyakinan kepada pemilik EV.
Namun cabaran utama masih sama. Pengecas pantas jenis DC masih terhad berbanding pengecas biasa jenis AC, terutama di luar bandar. Ini menjadikan perjalanan jarak jauh lebih sukar bagi sesetengah pemilik EV.
Beza pengecas EV jenis AC dan DC
| Perbandingan | Pengecas AC
(Alternating Current) |
Pengecas DC
(Direct Current) |
| Lokasi | Rumah (wallbox), pusat beli-belah, pejabat | Lebuh raya, pusat pengecasan, pusat bandar |
| Kelajuan | 3.7 kW – 22 kW | 50 kW – 350 kW |
| Kelajuan Cas | Semalaman atau beberapa jam | 10% hingga 80% dalam 20 – 40 minit |
| Kegunaan Ideal | Cas harian, waktu bekerja, membeli-belah | Perjalanan jauh, cas segera dalam 30 minit |
| Kos Pemasangan | Lebih rendah, boleh pasang di rumah landed | Jauh lebih tinggi dan biasanya dipasang di kawasan komersial |
| Kesan Pada Bateri | Lebih mesra bateri, caj lebih stabil | Boleh beri tekanan tambahan jika digunakan terlalu kerap |
Secara ringkas, pengecas EV jenis AC sesuai untuk pengecasan harian di rumah, pejabat, atau tempat-tempat di mana kenderaan diletak untuk tempoh yang lama. Pengecas jenis DC pula lebih penting bila anda perlu cas kereta dengan pantas. Biasanya ia digunakan ketika perjalanan jauh seperti di lebuh raya atau kawasan pusat bandar.
Realiti mengecas EV di rumah
Bagi pemilik rumah teres atau banglo, mengecas kereta EV lebih mudah. Anda boleh memasang pengecas wallbox jenis AC di rumah dengan kos yang berpatutan. Harga pemasangan untuk wallbox AC 7 hingga 11 kW biasanya sekitar RM1,500 hingga RM4,000, tidak termasuk kos pemasangan elektrik yang boleh mencecah RM500 hingga RM2,000.

Dengan pengecas sendiri di rumah, anda boleh berjimat kerana caj elektrik di rumah jauh lebih rendah berbanding pengecas awam. Selain itu, anda boleh mengecas kereta semalaman tanpa perlu fikirkan tempat letak kereta khas atau masa menunggu.
Namun, bagi penghuni pangsapuri, keadaannya sedikit berbeza. Cabaran utama adalah akses kepada pengecas. Kebanyakan pemilik EV di pangsapuri perlu bergantung pada stesen pengecas awam seperti di pusat beli-belah, pejabat, atau tempat letak kereta komersial. Ini memerlukan perancangan lebih teliti jika anda ingin memiliki EV tetapi tinggal di kediaman bertingkat.
Balik kampung & perjalanan jauh dengan EV
Kalau anda bercadang balik kampung dengan kereta EV, ada beberapa perkara penting yang perlu diambil kira. Kebanyakan EV dengan bateri besar boleh bergerak antara 300 hingga 400 km dengan satu cas. Namun faktor seperti kesesakan jalan raya atau laluan berbukit boleh menyebabkan bateri habis lebih cepat.
Tempat pengecas di bandar besar biasanya mudah dicari, tetapi di kawasan luar bandar jumlahnya masih terhad. Jadi, anda perlu rancang laluan lebih awal. Semak lokasi pengecas sebelum memulakan perjalanan dan ambil kira masa tambahan untuk berhenti mengecas.
Secara ringkas, balik kampung dengan EV memang boleh, cuma pada masa sekarang ia memerlukan perancangan yang lebih teliti berbanding kereta biasa.
Realiti kos pemilikan EV
Walaupun harga beli awal EV masih lebih tinggi, terutama untuk model premium, EV kini semakin berbaloi dalam jangka panjang. Ini kerana beberapa faktor utama:
- Kos caj di rumah untuk pemilik rumah landed jauh lebih murah, sekitar RM100 hingga RM150 sebulan
- Kos servis lebih rendah kerana tiada minyak enjin atau sistem ekzos
- Pilihan model mampu milik semakin banyak di pasaran
- Insentif kerajaan seperti pengecualian cukai jalan dan rebat membantu mengurangkan kos awal
- EV lebih mesra alam, tanpa asap ekzos dan dengan jejak karbon yang lebih rendah
Namun, satu perkara yang perlu diambil kira ialah kos bateri. Bateri kekal sebagai komponen paling mahal untuk EV, dan penggantian boleh menelan belanja besar. Walaupun begitu, teknologi bateri semakin maju dan harga semakin menurun, jadi isu ini dijangka kurang membebankan pada masa depan.
Pilihan kereta EV terbaru di Malaysia
| Model Antarabangsa | Ciri-ciri Utama | Julat Harga (MYR) |
| Tesla Model 3 & Model Y | Prestasi tinggi, rangkaian pengecas Supercharger meluas | Tesla Model 3: RM 169K – RM 229K
Tesla Model Y: RM 195K – RM 242K |
| BYD Atto 3 & BYD Sealion 7 | Harga kompetitif, jarak pemanduan jauh, bateri tahan lama | Atto 3: RM123K+
Sealion 7: RM183K – RM199K |
| Hyundai Ioniq 5 & Kona EV | Reka bentuk futuristik, ruang luas | Hyundai Ioniq 5: RM207K -RM270K
Hyundai Kona Elektrik: RM156K – RM208K |
| BMW iX1 & i4 | Kemewahan, teknologi pemanduan separa autonomi | BMW iX1: RM 249K – RM 276K
BMW i4: RM 279K – RM 316K |
| Zeekr 7X & 009 | SUV elektrik premium, jarak pemanduan hingga 615 km, kuasa 646 hp, cas 450 kW | Zeekr 7X: RM 179K – RM 227K
Zeekr 009: RM 299K – RM 360K |
| Model Tempatan | Ciri-ciri Utama | Julat Harga (MYR) |
| Perodua eMO | Saiz kompak, hatchback, efisien tenaga, sesuai untuk kawasan bandar (masih belum dijual) | RM50K – RM90K |
| Proton e.Mas 7 | SUV elektrik moden dengan teknologi terkini, sesuai untuk pemanduan harian | RM106K – RM124K |
Adakah EV pilihan tepat untuk anda?

Jika diteliti dari segi realiti dan nilai, membeli EV di Malaysia memerlukan perancangan dan pemahaman jelas tentang infrastruktur pengecasan serta kos-kos pemilikan EV. Namun, jika dilihat dari aspek penjimatan tenaga, kos penyelenggaraan rendah, dan manfaat kepada alam sekitar, EV kini semakin memberi pulangan yang nyata.
Tambahan pula, semakin banyak pilihan model antarabangsa dan tempatan memasuki pasaran – daripada kereta kompak bandar hingga SUV keluarga, menjadikan masa depan EV di Malaysia semakin cerah.
Jika anda sedang mempertimbangkan SUV elektrik yang praktikal untuk keluarga dan masih menawarkan prestasi mantap, Zeekr patut masuk dalam senarai pilihan anda. Sebagai pengedar rasmi Zeekr di Malaysia, Carro memudahkan anda membeli EV dengan pengalaman yang menyeluruh dan lancar.

Berminat nak pandu uji atau nak tahu lebih lanjut?
Isi borang di sini dan kami akan hubungi anda secepat mungkin.


