Car Insurance & Loans

Cara claim insurans kereta jika rosak akibat banjir atau bencana alam

Banjir dan bencana alam boleh berlaku tanpa amaran, dan kereta yang sering jadi mangsa. Enjin boleh tenggelam, sistem elektrik rosak, dan kos baik pulih boleh mencecah ribuan ringgit. Namun, jika anda dilindungi insurans yang betul, situasi ini tidak semestinya menjadi mimpi ngeri. 

Sama ada kereta anda rosak akibat banjir, ribut, pokok tumbang atau tanah runtuh, proses tuntutan insurans adalah sama. Semua kerosakan ini biasanya dilindungi di bawah tambahan perlindungan yang dikenali sebagai Perlindungan Peril Khas (Special Perils). Mari kita lihat langkah-langkah yang betul untuk membuat tuntutan insurans sekiranya kereta anda rosak akibat banjir atau bencana alam.

Flooded car.

Semak dulu sama ada kereta anda dilindungi

Ramai pemandu menganggap insurans komprehensif sudah mencukupi untuk semua jenis kerosakan. Sebenarnya, kerosakan akibat banjir dan bencana alam tidak termasuk dalam perlidungan insurans standard ini. Untuk dapatkan pampasan, anda perlu ada perlindungan Peril Khas yang melindungi kerosakan akibat banjir, ribut, pokok tumbang, tanah runtuh, dan sebagainya.

Documents, confused man

Caj tambahan untuk perlindungan Peril Khas

Caj tambahan untuk perlindungan ini biasanya hanya sekitar 0.2% hingga 0.5% daripada nilai diinsuranskan. Contohnya, jika nilai kereta anda RM50,000, tambahan perlindungan ini cuma RM100 – RM250 setahun.

Kos membaiki enjin yang rosak akibat banjir boleh mencecah RM5,000 hingga RM20,000, bergantung pada model kereta. Jadi tambahan kecil ini memang berbaloi, terutamanya jika anda tinggal di kawasan rendah atau pernah mengalami banjir. Memang wajib pertimbangkan perlindungan ini apabila memperbaharui insurans tahun depan.

Apa nak buat bila kereta masuk banjir

survive a car flood

Jika banjir melanda dan anda tak sempat nak pindahkan kereta ke kawasan selamat, utamakan keselamatan diri dahulu. Tunggu sehingga air surut sebelum memeriksa kereta. 

Jangan cuba hidupkan enjin!
Bila air masuk ke sistem elektrik atau ruang pembakaran, cuba hidupkan enjin boleh menyebabkan kerosakan total. Sesetengah syarikat insurans boleh menoolak tuntutan jika dianggap akibat “negligence”.

Ikuti langkah-langkah ini supaya proses tuntutan berjalan lancar:

Langkah 1: Hubungi syarikat insurans secepat mungkin

Telefon talian kecemasan atau nombor tuntutan yang tertera pada polisi. Laporkan kejadian, lokasi, dan tahap kerosakan. Kebanyakan syarikat insurans akan menghantar perkhidmatan tunda percuma ke bengkel panel.

Langkah 2: Ambil gambar dan video sebagai bukti

Tangkap gambar kereta dari pelbagai sudut, termasuk nombor plat, paras air, bahagian dalaman, dan enjin. Kalau boleh, ambil video untuk menunjukkan tahap kerosakan. Semua ini akan membantu proses penilaian insurans nanti.

Langkah 3: Buat laporan polis

Walaupun ini kes bencana alam, laporan polis tetap diperlukan. Nyatakan dengan jelas bahawa punca kerosakan adalah banjir, sertakan tarikh dan lokasi kejadian. Laporan ini penting sebagai bukti bahawa kerosakan kereta bukan disebabkan oleh kecuaian anda.

Langkah 4: Hantar kereta ke bengkel panel & serah dokumen lengkap

Carro Care technician servicing car

Lengkapkan borang tuntutan (claim form) dan sediakan salinan berikut:

  • Laporan polis
  • Salinan lesen memandu & kad pengenalan
  • Sijil insurans (cover note/polisi)
  • Gambar dan video kerosakan

Bengkel panel akan buat penilaian awal dan hantar laporan kepada adjuster insurans. Proses ini biasanya mengambil masa 3 – 7 hari bekerja, bergantung pada tahap kerosakan dan kelulusan pihak insurans.

Kalau Kereta Ditetapkan Sebagai “Total Loss”

Jika enjin, transmisi, atau sistem elektrik rosak teruk sehingga kos pembaikan melebihi nilai semasa kereta, syarikat insurans boleh isytihar kereta anda sebagai Total Loss. Ini bermakna pampasan akan dibayar berdasarkan nilai pasaran semasa kereta, bukan kos pembaikan.

Sebagai contoh:

  • Nilai pasaran kereta: RM45,000
  • Kos baik pulih: RM48,000

Kereta akan diisytihar sebagai total loss, dan anda akan dibayar RM45,000

Proses ini boleh mengambil masa 2 hingga 4 minggu bergantung pada syarikat insurans dan kelangkapan dokumen yang anda serahkan.

Tip tambahan supaya tuntutan anda tak ditolak

  • Pastikan semua maklumat tepat dan jujur – Masa, lokasi, dan punca kerosakan mesti betul.
  • Jangan baiki kereta sebelum adjuster datang – Biarkan pihak insurans menilai dulu.
  • Simpan semua resit & bukti – Jika ada perbelanjaan kecil seperti tunda kereta, simpan resit, kadang-kadang ia boleh dituntut balik.
  • Perbaharui insurans lebih awal – Musim hujan biasanya antara November hingga Januari. Pastikan perlindungan tambahan anda aktif sebelum tu.

Bila kereta rosak akibat banjir, emosi dan kerugian kewangan boleh jadi besar. Tapi dengan perlindungan yang betul dan tindakan segera, anda boleh elak stres yang tidak perlu.

Jadi, sediakan payung sebelum hujan! Sebelum hujan lebat seterusnya datang:

  • Semak polisi anda ada tak perlindungan Peril Khas?
  • Tambahkan perlindungan jika belum ada.
  • Simpan nombor hotline insurans di telefon anda.

Apabila bencana melanda, anda akan tahu apa yang perlu dibuat, siapa yang patut dihubungi, dan dokumen apa yang diperlukan. Itu beza antara panik dan bersedia.

Carro retail store
Kalau anda sedang mempertimbangkan untuk ganti kereta selepas banjir, atau nak cari model yang lebih tahan lasak untuk cuaca Malaysia, jom lihat pilihan kereta terpakai di Carro. Semua dijamin diperiksa rapi dan bebas banjir!

 

Related Articles

Back to top button