Carro News

Semua yang anda perlu tahu tentang spark plug dan coil plug

Bayangkan anda dan keluarga sedang bersiap sedia untuk keluar bersama-sama untuk road trip. Semua orang sudah bersiap, bagasi sudah dimuatkan ke dalam kereta, dan anak-anak semua sudah teruja untuk pergi jalan-jalan. Anda masuk kereta, start enjin, tapi tiba-tiba enjin terasa semput; kereta mula bergegar semacam, atau langsung tak mahu hidup. Akibatnya, anda sekeluarga terpaksa menukar rancangan, dan anda pula kena pergi bawa kereta ke bengkel untuk dibaiki. Susah kan?

Untuk mengelakkan situasi begini, anda kena ambil tahu kenapa ia berlaku. Kadang-kadang kerosakan begini bermula daripada komponen-komponen kecil seperti palam pencucuh atau spark plug, dan gegelung pencucuh atau coil plug. 

Dua komponen ini mungkin nampak remeh bagi sesetengah pemandu, tetapi inilah dua komponen yang memastikan yang kereta anda boleh membakar minyak untuk bergerak. Dalam artikel ini, kita akan menyelami sistem pencucuhan kereta supaya anda tidak lagi pening kepala apabila mekanik mula bercakap tentang kerosakan kereta yang melibatkan dua komponen ini.

Photo by shraga kopstein on Unsplash

Apa yang jadi bila spark plug dan coil plug buat hal?

Sebelum kita masuk ke bahagian teknikal, mari kita lihat apa yang berlaku apabila sistem pencucuhan ini gagal: iaitu kitaran pembakaran dalam enjin akan terganggu. 

Anda akan mula perasan tanda-tanda kerosakan yang menjengkelkan. Penggunaan petrol menjadi sangat tinggi. Enjin terasa hilang kuasa, seolah-olah anda sedang menarik beban berat di belakang. Lebih menakutkan, kereta boleh mati tiba-tiba di tengah lebuhraya yang sesak.

Masalah kecil yang dibiarkan pada spark plug boleh merebak sehingga merosakkan catalytic converter (penukar bermangkin) atau menyebabkan kerosakan besar pada piston kereta. Kos membaiki spark plug mungkin hanya puluhan atau ratusan ringgit, tetapi kos membaiki enjin boleh mencecah ribuan ringgit. Jadi, ilmu ini sangat penting untuk anda.

Anatomi spark plug dan coil plug dalam kereta anda

Untuk faham lebih mendalam tentang sistem pencucuhan kereta, bayangkan satu unit silinder enjin. Di bahagian paling atas, terdapat coil plug yang disambungkan pada kabel elektrik. Coil ini memegang spark plug yang tertanam jauh ke dalam kepala silinder.

Bahagian hujung spark plug yang mempunyai “gap” (ruang udara) berada tepat di dalam ruang pembakaran. Apabila piston naik ke atas bila kunci diputar, ia memampatkan campuran petrol dan udara, dan sejurus itu coil plug melepaskan kejutan elektrik yang melompat antara “gap” tersebut, menghasilkan petikan kilat kecil yang memulakan kuasa pergerakan.

Semua proses ini berlaku dalam milisaat, dan boleh berulang ribuan kali seminit apabila RPM meningkat. Kecil saiznya, tetapi impaknya besar pada prestasi enjin.

 

 

Apa itu spark plug dan kenapa ia penting?

Dalam bahasa mudah, spark plug adalah “pemetik api” untuk enjin kereta anda. Enjin petrol memerlukan tiga elemen utama untuk hidup: udara, bahan api, dan percikan api.

Spark plug berfungsi dengan menghantar denyutan elektrik yang sangat kuat untuk menghasilkan percikan api di dalam ruang pembakaran. Percikan inilah yang akan meletupkan campuran udara dan petrol, seterusnya menolak piston ke bawah untuk menggerakkan kereta.

Jika spark plug tidak berfungsi dengan baik, kereta anda tidak akan dapat cetusan yang sempurna. Bayangkan anda cuba menghidupkan dapur gas tetapi pemetik apinya sudah berkarat atau kotor. Spark plug yang berkualiti memastikan setiap titisan petrol yang anda beli ditukarkan menjadi tenaga dengan efisien.

 

Apa pula coil plug dan peranannya?

Ramai yang keliru antara dua benda ini. Jika spark plug adalah pemetik api, maka coil plug adalah sumber kuasanya.

Bateri kereta anda biasanya hanya membekalkan sekitar 12 volt elektrik. Namun, untuk menghasilkan percikan api yang cukup kuat bagi membakar petrol, kita perlukan voltan yang mencecah berpuluhan ribu volt. Di sinilah coil plug memainkan peranan. Ia bertindak sebagai transformer yang menukarkan voltan rendah daripada bateri kepada voltan tinggi yang diperlukan oleh spark plug.

Zaman sekarang, kebanyakan kereta moden menggunakan sistem coil-on-plug, di mana setiap spark plug mempunyai coil tersendiri yang dipasang di atasnya. Jika coil ini rosak, spark plug tidak akan mendapat bekalan elektrik, dan silinder tersebut akan “mati” atau mengalami misfire.

 

Perbezaan utama yang anda perlu tahu

Walaupun dua komponen ini bekerjasama, kedua-duanya mempunyai fungsi masing-masing. Kalau salah komponen satu ada kekurangan, api takkan menyala dengan sempurna dan enjin pun takkan berfungsi seperti sepatutnya. 

Mari kita ringkaskan perbezaannya supaya anda nampak lebih jelas:

Ciri-ciri Spark Plug (Palam Pencucuh) Coil Plug (Gegelung Pencucuh)
Fungsi Utama Menghasilkan percikan api. Menukarkan voltan rendah ke voltan tinggi.
Jangka Hayat Perlu ditukar secara berkala (contoh: setiap 40,000km – 100,000km). Biasanya tahan lebih lama, ditukar bila rosak.
Bentuk Batang besi kecil dengan hujung seramik. Modul plastik yang lebih besar, dipasang di atas spark plug.
Kos Lebih murah
Setiap unit: RM 5 – RM40
Setiap set (4): RM120 – RM160
Biasanya lebih mahal berbanding spark plug.
Setiap unit: RM 30 – RM130
Setiap set (4): RM 120 – RM520

 

Harga coil plug dan spark spark bergantung pada kualiti, jenis, dan di mana komponen tersebut diimport. Jenama premium seperti Iridium atau Bosch biasanya lebih mahal, tetapi menawarkan ketahanan yang lebih baik. Komponen biasa pula lebih murah, namun jangka hayatnya mungkin lebih pendek.

Faktor pasaran seperti turun naik harga bahan mentah dan lambakan barangan tiruan juga mempengaruhi harga yang anda lihat di pasaran.

Bagi pemilik kereta 4-silinder popular seperti Perodua Myvi atau Proton Waja, kos untuk tukar keempat-empat coil plug bersama spark plug sekali gus biasanya berada dalam julat RM500 hingga RM1,000 termasuk upah mekanik.

Nak tukar satu coil plug yang rosak sahaja? Anggaran harganya sekitar RM150 hingga RM400 termasuk upah mekanik. Tetapi secara praktikal, menukar satu set penuh selalunya lebih berbaloi dari segi kos seunit dan lebih menjimatkan dalam jangka masa panjang.

Kalau anda nak jimat sekitar RM50 hingga RM200, anda boleh juga buat sendiri penukaran di rumah.Tapi kebanyakan pakar tetap sarankan penukaran set penuh.

 

Tanda-tanda kerosakan coil plug dan spark plug

Jangan tunggu kereta tersadai di tepi jalan baru mahu bertindak. Sistem pembakaran selalunya beri amaran awal, tapi anda perlu peka. Berikut adalah tanda-tanda biasa yang disahkan pakar automotif:

 

1. Enjin bergegar (rough idling)

Berhenti di lampu isyarat, tapi stereng dan dashboard terasa bergetar lebih kuat daripada biasa? Itu petanda pembakaran tidak stabil. Puncanya boleh jadi spark plug kotor (carbon fouled) atau coil mula gagal menyebabkan misfire.

 

2. Sukar hidupkan enjin

Perlu pusing kunci atau tekan butang start beberapa kali sebelum enjin hidup? Biasanya ini disebabkan spark plug sudah haus, atau coil tidak membekalkan voltan mencukupi ketika enjin sejuk.

 

3. Penggunaan petrol meningkat

Cara pemanduan sama, tapi minyak cepat habis. Ini tanda pembakaran tidak sempurna, akibatnya petrol tidak dibakar sepenuhnya dan terkeluar melalui ekzos.

 

4. Lampu “Check Engine” menyala

Ini amaran paling jelas. ECU (komputer kereta) boleh mengesan silinder yang gagal berfungsi akibat masalah coil atau spark plug. Kod seperti P0300 (misfire) selalunya muncul bila diimbas dengan OBD scanner (alat yang boleh disambungkan ke port khas di bawah dashboard untuk membaca kod ralat).

 

Tanda khusus coil plug bermasalah

Coil plug mengawal aliran elektrik voltan tinggi. Bila ia gagal, simptomnya biasanya lebih ketara:

  • Misfire / jerking – Kereta terasa tersentak-sentak ketika memecut.
  • Backfiring – Bunyi letupan kecil dari ekzos akibat petrol tidak terbakar.
  • Enjin mati tiba-tiba – Jika coil utama gagal, enjin boleh mati dan sukar hidup semula sehingga ia sejuk.
  • Bau petrol kuat – Petrol mentah keluar dari silinder yang tidak membakar dengan sempurna.

 

Tanda khusus spark plug sudah haus

Spark plug pula biasanya menunjukkan tanda yang lebih konsisten mengikut tahap kehausan:

    • Pecutan lembap – Tekan pedal minyak, tapi kereta lambat respon.
    • Hujung spark plug hitam atau berminyak – Tanda carbon fouling atau pembakaran tidak bersih.
  • Bunyi knocking (ketukan) – Ketukan halus dari enjin akibat pembakaran tidak sekata.

 

Apa yang patut anda buat?

Jika ada simptom di atas, langkah paling tepat ialah buat imbasan OBD scanner untuk kenal pasti kod ralat. Di Malaysia, kos diagnosis biasanya sekitar RM50 hingga RM150 di bengkel biasa.

Dari segi penyelenggaraan, kebanyakan enjin biasa disarankan menukar spark plug setiap 40,000 hingga 60,000 km, manakala sesetengah jenis (seperti Iridium) boleh tahan sehingga 100,000 km bergantung spesifikasi pengeluar.

Ringkasnya: jangan tunggu sampai rosak teruk. Sistem pembakaran yang sihat bukan sahaja lindungi enjin, tetapi juga jimatkan minyak dan elakkan kos besar di kemudian hari.

 

Cara penjagaan spark plug dan coil plug supaya tahan lama

Walaupun ini adalah komponen yang confirm akan haus dan lusuh (wear and tear), anda boleh memanjangkan hayatnya dengan beberapa langkah mudah:

  1. Gunakan bahan api berkualiti: Petrol yang bersih mengurangkan mendapan karbon pada hujung spark plug.
  2. Servis kereta anda mengikut jadual: Jangan tangguh penukaran spark plug. Jika manual kereta kata 40,000km, tukarlah bila sampai waktunya. Spark plug yang lama akan memaksa coil plug bekerja lebih keras, seterusnya memendekkan jangka hayat coil tersebut.
  3. Pastikan enjin tidak “overheat“: Haba melampau adalah musuh utama coil plug. Pastikan sistem penyejukan enjin anda sentiasa dalam keadaan terbaik.
  4. Elakkan basuh enjin dengan air tekanan tinggi: Air yang masuk ke dalam ruang coil boleh menyebabkan litar pintas.

Sebagai pemandu, memahami kedua-dua komponen ini bukan sahaja boleh menyelamatkan kereta anda, malah melindungi dompet anda daripada kos pembaikan yang tidak masuk akal.

Nak pastikan kereta anda sentiasa berjalan lancar dan selamat?

 

Di Carro Care, kami faham yang penjagaan kereta boleh menjadi sesuatu yang memeningkan untuk pemilik kereta, tambah lagi dengan hidup anda yang serba sibuk. Itulah sebabnya kami bekerja keras untuk memastikan yang semua urusan anda lebih cepat, senang, dan tenang. 


Perkhidmatan kami merangkumi pemeriksaan spark plug dan coil plug. Jika perlu ditukar, kami hanya menggunakan alat ganti yang berkualiti untuk memastikan prestasi enjin anda kembali seperti baru. Dengan laporan servis yang telus daripada Carro Care, anda boleh lebih peka tentang keadaan sebenar kereta anda.

Nak servis kereta? Pilihlah Carro Care.

 

Soalan lazim (FAQ) tentang palam pencucuh kereta di Malaysia

  • Berapa lama spark plug boleh bertahan?

Bergantung pada jenisnya. Spark plug biasa bertahan sekitar 30,000km – 40,000km. Manakala jenis Iridium atau Platinum boleh bertahan sehingga 80,000km ke 100,000km.

 

  • Bolehkah saya tukar satu sahaja coil plug jika yang lain masih elok?

Boleh. Berbeza dengan spark plug yang perlu ditukar secara set, coil plug boleh ditukar secara berasingan. Namun, jika coil yang lain sudah berusia, biasanya ia akan rosak satu persatu dalam masa yang singkat.

 

  • Adakah spark plug mahal?

Spark plug biasa agak murah, tetapi jenis Iridium lebih mahal sedikit kerana ketahanannya dan kecekapan pembakaran yang lebih baik.

 

  • Apa jadi kalau saya tak tukar spark plug yang dah rosak?

Enjin anda akan hilang kuasa, penggunaan petrol melambung tinggi, dan dalam jangka masa panjang, ia akan merosakkan sistem ekzos dan komponen dalaman enjin yang jauh lebih mahal.

 

Soalan lazim mengenai Carro

  • Adakah Carro Care menyediakan pemeriksaan spark plug percuma semasa servis?

Ya, pemeriksaan sistem pencucuhan termasuk dalam senarai semak pemeriksaan standard kami semasa setiap servis rutin.

 

  • Adakah alat ganti yang digunakan di Carro Care berkualiti?

Kami hanya menggunakan alat ganti yang menepati spesifikasi pengeluar (OEM) atau jenama selepas jualan yang diiktiraf untuk menjamin prestasi optimum kereta anda.

 

  • Bagaimana saya nak tahu harga tukar coil plug di Carro?

Kami mengamalkan harga tetap yang telus. Anda boleh mendapatkan sebut harga secara terus melalui aplikasi atau laman web kami sebelum memulakan kerja pembaikan. Tiada kos tersembunyi yang mengejutkan.

 

  • Adakah juruteknik Carro pakar dalam semua jenis model kereta?

Juruteknik kami terlatih untuk mengendalikan pelbagai model kereta, daripada kereta nasional hinggalah ke model import, menggunakan peralatan diagnostik terkini.

 

Dapatkan servis kereta anda dengan Carro Care. Kami gunakan alat ganti berkualiti, tawarkan harga tetap yang telus, dan disokong oleh juruteknik berkelayakan serta berpengalaman.

Back to top button